LBS LANCAR PROJEK BAHARU BERNILAI RM3 BILION DALAM TEMPOH 9 BULAN AKAN DATANG
Untuk Siaran Segera
LBS LANCAR PROJEK BAHARU BERNILAI RM3 BILION DALAM TEMPOH 9 BULAN AKAN DATANG
Strategi dan Pembangunan Terbukti Memenuhi Keperluan Pasaran
Petaling Jaya, 27 Julai 2020 – LBS Bina Group Berhad (LBS) merancang untuk melancarkan hartanah dalam tempoh sembilan bulan akan datang dengan gabungan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion. Projek atau fasa baharu dalam perancangan ini melibatkan KITA Sejati, KITA Mekar di KITA @ Cybersouth, Dengkil, Ritma Perdana dan blok baharu Pangsapuri Melodi Perdana di LBS Alam Perdana, Bandar Puncak Alam, Vines 3 di Cameron Golden Hills dan Emerald Garden 3 di Bandar Putera Indah, Batu Pahat, serta Bayu Hills di Genting Permai.
Berucap pada Taklimat Media AGM LBS ke-20, Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “Lebih dari 80% pembangunan kami terletak di kawasan Lembah Klang”
“Prestasi jualan yang kuat membuktikan bahawa strategi dan pembangunan LBS memenuhi keperluan pasaran. Setakat 26 Julai 2020, kami telah mencapai jualan sebanyak RM780 juta,” ujar Tan Sri Lim Hock San.
Sejak 3 tahun lalu, LBS telah menyerahkan sebanyak 5,526 unit rumah dan mensasarkan serahan berjumlah 7,181 unit pada tahun 2020 dan 2021.
Sehingga kini, LBS mempunyai 15 projek yang sedang berjalan dengan anggaran GDV sebanyak RM4.3 bilion. Pada 30 Jun 2020, LBS memiliki bank tanah seluas 3,591 ekar dan ini akan menjadi penggerak kepada LBS dalam tempoh 10 hingga 15 tahun. “Kami akan terus meneruskan strategi untuk membina lebih banyak perbandaran mampu dimiliki berteraskan 3 tiga tunggak utama, mampu dimiliki, kesaling hubungan dan komuniti,” ulas Tan Sri Lim Hock San.
Setakat 15 Julai 2020, jumlah penjualan tanpa bil LBS kukuh dengan RM2 bilion dan LBS optimis dengan prospek pertumbuhan serta perkembangan syarikat dalam tempoh semasa dan akan datang.
Pada AGM tersebut, LBS mendapat persetujuan pemegang saham untuk pembayaran pertama dan akhir dividen satu peringkat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang terdiri daripada pembahagian saham perbendaharaan dalam nisbah tiga untuk setiap 100 saham biasa yang sedia ada.
-Tamat-