LBS BINA GROUP AWARDED TOP 10 DEVELOPERS AWARD AT THE BCI ASIA AWARDS 2020






Untuk Siaran Segera

LBS DIIKTIRAF SEBAGAI 10 PEMAJU TERBAIK
DI ANUGERAH BCI ASIA 2020/2021
Pencapaian Membanggakan Bagi Tahun Kelima Berturut-turut

 

Petaling Jaya, 6 Disember 2021 – Pemaju perumahan terkemuka, LBS Bina Group Berhad sekali lagi merangkul Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020/2021 di Anugerah BCI Asia (BCIAA) bagi tahun 2020. Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada LBS sebagai pemaju hartanah contoh dan terbaik di Malaysia serta Asia Tenggara. Ini merupakan anugerah yang diterima oleh LBS untuk kali ke lima.

Dengan peningkatan jumlah kes harian COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO) telah dilaksanakan pada Mei 2021 yang lepas demi memastikan kes jangkitan harian dapat dikurangkan di samping  melindungi keselamatan orang ramai. Oleh itu, anugerah BCI Asia 2020 yang terlebih dahulu dirancang untuk diadakan pada 19hb Jun 2020, telah ditangguh dan dijadualkan berlangsung semula pada 3hb Disember 2021.

Anugerah 10 Pemaju Terbaik 2020 telah dipilih berdasarkan tahap kelestarian projek-projek mereka. Ianya merupakan anugerah berprestij yang paling dinantikan di kalangan sektor seni bina, pemaju hartanah dan pembinaan di seluruh Asia Tenggara termasuk Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Anugerah ini telah diadakan untuk kali ke-17 sejak penubuhannya pada tahun 2003.

“Objektif perumahan lestari adalah untuk meningkatkan taraf hidup sambil memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki rumah idaman mereka dengan perpaduan dan kesejahteraan kemasyarakatan yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan sosial. Pertimbangan dari aspek kelestarian diambil kira dalam keseluruhan kitaran hayat pembangunan kami, baik daripada reka bentuk konsep kepada pembinaan dan pengurusan bangunan seperti KITA Mekar, KITA Mesra, Residensi Bintang Bukit Jalil, dan Prestige Residence, yang dilancarkan baru-baru ini” jelas Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San.

“Tahun 2020 merupakan tahun mencabar namun LBS mampu mengharunginya dengan sokongan dari kerja keras dan ketabahan para pekerja yang berjaya meletakkan LBS sebagai 10 pemaju perumahan terbaik. Untuk itu, saya amat berbesar hati dan ingin mengucapkan terima kasih kepada BCIAA kerana sentiasa mengiktiraf usaha kami dan menganugerahkan LBS dengan Anugerah 10 Pemaju Terbaik. Kami percaya di waktu pandemik ini, rumah mampu milik dengan kualiti binaan yang luar biasa adalah kunci  kepada kejayaan syarikat. Memandangkan kita semakin menghampiri penghujung tahun, tumpuan LBS akan terus dipacu ke arah menyediakan rumah mampu milik dan mewujudkan kehidupan yang hijau dan mampan, serta persekitaran bekerja dan rekreasi untuk semua pembeli rumah Malaysia,” tambah Tan Sri Lim Hock San.

Majlis makan malam gala BCIAA 2020/2021 telah diadakan pada 3 Disember 2021 lepas di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur dan diserikan dengan kehadiran Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), YBhg. Datuk Ar Ezumi Harzani bin Ismail, Pertubuhan Perekabentuk Dalaman Malaysia (PPDM), IDr Lai Siew Hong, dan Mantan Presiden, Malaysia Green Building Council (MGBC), Ar Chan Seong Aun.

~Tamat~