LBS POSTS SOLID Q3FYE2021 RESULTS






Untuk Siaran Segera

LBS PAMER KEPUTUSAN MANTAP BAGI Q3FYE2021

  • Jumlah jualan hartanah (22 November 2021: RM1.10 bilion) capai 92% sasaran jualan 2021 (RM1.2 bilion)
  • 20 buah projek sedang berjalan dengan Nilai Pembangunan Kasar RM5.65 bilion
  • Jualan belum dibil RM2.17 bilion

__________________________________________________________________________________________

Petaling Jaya, 23 November 2021 – LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”) hari ini mengumumkan keputusan suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (“Q3FYE21”).

 

Bagi suku tahun dalam tinjauan, LBS mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM34.0 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM20.0 juta, peningkatan suku ke suku masing-masing sebanyak 34.5% dan 3.2%. Turut dicatatkan, hasil dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (“PATMI”) sebanyak RM254.0 juta dan RM18.1 juta, di sebalik impak COVID-19 yang turut mempengaruhi jualan dan pembinaan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh. LBS turut melaporkan bahawa projek pembangunan di Lembah Klang menyumbang lebih daripada 81% pendapatan Syarikat bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021 (“9MFYE21”).

 

Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021, hasil dan PATMI masing-masing melonjak sebanyak 15.0% dan 153.7% kepada RM922.4 juta dan RM60.0 juta, berbanding tempoh yang sama pada 2020. PATMI 9MFYE21 telah melepasi jumlah PATMI 2020 sebanyak RM51. 3 juta. Peningkatan ini adalah sebahagian besarnya berikutan kadar pengambilan positif serta kemajuan pembinaan yang stabil bagi projek pembangunan berterusan LBS di KITA @ Cybersouth, LBS Alam Perdana, Taman Perindustrian Alam Awana, Residensi Bintang Bukit Jalil dan Cameron Centrum. Kedudukan dan kesetaraan tunai LBS bagi 9MFYE21 berjumlah RM197.4 juta, meningkat 30.4% berbanding 9MFYE20.

 

LBS seterusnya turut mengumumkan bahawa kini terdapat 20 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (“GDV”) berjumlah RM5.65 bilion di samping bank tanah untuk pembangunan masa hadapan seluas 2,794 ekar dengan anggaran GDV berjumlah RM24.3 billion dan jualan belum dibilkan sebanyak RM2.17 billion.

 

Mengulas keputusan tersebut, Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, “LBS mampu mengekalkan pertumbuhan pendapatannya hasil daripada pelancaran projek-projek yang dirancang dengan teliti di samping usaha berterusan kakitangan untuk terus maju dengan memperoleh jualan dan tempahan walaupun terkesan daripada penularan pandemik COVID-19. Oleh itu, keputusan suku tahunan ini merupakan ganjaran yang menguntungkan dan kami berharap agar usaha ini dapat diteruskan sehingga ke akhir tahun 2021.

 

Sehingga 21 November 2021, kami telah berjaya memperoleh RM1.10 bilion bagi jualan dan tempahan dalam perancangan sebanyak RM950.2 juta. Berbanding sasaran awal, kami telah mencapai 92% daripada sasaran jualan 2021 yang ditetapkan pada RM1.2 bilion. Ini menunjukkan bahawa kami berada di landasan yang betul dan terus menyediakan rumah mampu milik yang memenuhi keperluan rakyat. Berdasarkan laporan Statistik Biro Perumahan, Malaysia masih mengalami kekurangan sebanyak RM1 juta unit rumah kediaman mampu milik.

 

Pada masa yang sama, LBS baru-baru ini melancarkan Prestige Residence di Seri Kembangan dan fasa baru KITA Mesra, melibatkan projek pembinaan rumah di perbandaran KITA @ Cybersouth, di mana kami telah melihat angka jualan yang amat menggalakkan. LBS juga menyokong rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membina 30,000 rumah mampu milik di lokasi strategik menjelang 2025. Kami telah memperoleh enam buah projek Rumah Selangorku Idaman MBI yang bakal dibina menggunakan konkrit pratuang IBS, dan berharap dapat terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan lebih banyak rumah mampu milik pada masa hadapan.”

 

Beliau turut menambah, “Walaupun unjuran sektor hartanah dijangka kekal mencabar, kami optimis dan menjangkakan kebanyakan operasi di Malaysia akan kembali pulih, setelah mencapai lebih 90% kadar vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, terdapat peningkatan sebanyak 18.5% dalam bilangan urus niaga bagi hartanah di bawah RM500,000 pada separuh pertama 2021, berbanding tempoh yang sama pada 2020. Ini adalah petanda positif bagi sektor hartanah, khususnya bagi segmen perumahan mampu milik, kerana ia memberikan pandangan optimis bahawa pasaran hartanah berada di landasan pemulihan.”

 

Untuk maklumat lanjut mengenai projek-projek LBS, layari https://lbs.com.my/.

-Tamat-