LBS’ COMMENTARY ON MALAYSIA’S BUDGET 2022






Untuk Siaran Segera

ULASAN LBS PASCA BAJET MALAYSIA 2022

 

Petaling Jaya, 1 November 2021 – LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan”) memuji tumpuan Kerajaan terhadap inisiatif meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta pemulihan ekonomi seperti yang dibentangkan menerusi Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

 

Bagi sektor hartanah terutamanya, LBS amat mengalu-alukan keputusan Kerajaan untuk memansuhkan cukai keuntungan ke atas hartanah yang dijual selepas tempoh enam tahun dari tarikh ianya diperolehi. Seperti yang dijangka, LBS optimis bahawa ini merupakan langkah penting untuk merangsang pasaran hartanah pemilikan rumah kedua di samping menggalakkan pelaburan jangka panjang. Inisiatif sebegini juga memberi kemudahan bagi rakyat untuk menaik taraf rumah dan memiliki hartanah.

 

LBS turut menghargai usaha Kerajaan yang telah memberi tumpuan utama bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah, seperti yang dibentangkan menerusi Bajet 2022 di mana Kerajaan akan menyediakan RM2 bilion jaminan di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Skim ini memberi kemudahan kepada pekerja-pekerja bergaji harian, para pemilik perniagaan berskala kecil serta golongan petani ke arah mendapatkan pinjaman perumahan dan memiliki rumah sendiri, seiring dengan matlamat LBS sebagai pemaju perumahan mampu milik terkemuka yang sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan bagi pasaran tersebut.

 

Pelanjutan pelepasan cukai pendapatan peribadi sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga tahun taksiran 2022 merupakan langkah yang sangat bermanfaat bagi menggalakkan industri pelancongan di Malaysia. Ini sejajar dengan langkah LBS yang telahpun membuka semula pintu kepada para pelancong di Hotel SCAPES miliknya di Genting Highlands. Pembukaan semula sektor pelancongan ini mampu memberi kesan yang positif yang berganda untuk ekonomi negara.

 

Mengulas mengenai Bajet 2022, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “Inisiatif di bawah Bajet 2022 kelihatan seimbang dengan tujuan membantu perniagaan dan rakyat ke arah pemulihan ekonomi pasca pandemik. Kerajaan juga tidak memperkenalkan sebarang cukai tambahan yang membebankan keluarga, dan ini merupakan petanda baik bagi LBS kerana ini bermaksud lebih banyak peluang dan dana yang dapat disalurkan ke arah sektor pembangunan hartanah. Secara keseluruhannya, kami memuji usaha Kerajaan di dalam mencadangkan bajet yang kukuh dan proaktif seiring dengan usaha kami ke arah memulihkan pasaran hartanah.”

 

Untuk maklumat lanjut mengenai LBS, layari https://lbs.com.my/.

-Tamat-