LBS PRESENTS PROPOSALS TO STIMULATE HOUSING MARKET






Untuk Siaran Segera

LBS BENTANG SARANAN UNTUK RANGSANG
PASARAN PERUMAHAN

Petaling Jaya, 4 Oktober 2021 – LBS Bina Group Berhad (“LBS” atau “Kumpulan) hari ini menyenaraikan saranan-saranan bagi Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 29 Oktober 2021.

Selaku pemaju projek perumahan mampu milik yang terkemuka, LBS terus mempelbagaikan strategi bagi membantu industri hartanah di samping mengharungi cabaran pandemik Covid-19. Pasaran perumahan yang kukuh dilihat sebagai kesan positif yang berganda terhadap ekonomi negara. Sehubungan dengan itu, LBS berhasrat untuk membentangkan cadangan-cadangan berikut bagi membantu Kerajaan merangsang ekonomi perumahan seiring dengan inisiatif pemulihan.

 

a) Mengekalkan Pelaksanaan Kempen Pemilikan Rumah (HOC)
LBS melihat HOC sebagai dorongan bagi para pemaju hartanah untuk menjana jualan di sebalik langkah berhati-hati yang diambil oleh bakal pembeli berikutan pandemik Covid-19. Ketika negara mula melalui fasa pemulihan, LBS telah menyaksikan sendiri kesan positif ke atas pasaran hartanah menerusi HOC dan berharap Kerajaan akan terus mengekalkannya termasuk pengecualian duti setem bagi pembelian yang menjangkau sehingga RM1 juta pertama. Ini memastikan rantaian bekalan bagi industri pembinaan dan pembangunan hartanah berjalan lancar tanpa sebarang halangan ketika sentimen untuk membeli masih ada.

 

b) Kelonggaran Syarat Bagi Program Rumah Kedua Malaysia (MM2H)
LBS sentiasa menyokong Program MM2H kerana ianya dilihat memberi kesan positif dalam usaha untuk menarik warga asing menetap di Malaysia dan amat mengalu-alukan pelancaran semula Program MM2H. Walau bagaimanapun, LBS berpendapat bahawa semakan semula bagi syarat Program MM2H untuk pemohon baru mungkin terlalu ketat dan menghalang warga asing untuk bekerja dan tinggal di Malaysia. LBS berharap agar Kerajaan mempertimbangkan beberapa cadangan mengenai kriteria Program MM2H yang baru seperti berikut:
i. menurunkan kelayakan pendapatan minimum bagi pemohon kepada syarat asal iaitu RM10,000 sebulan;
ii. mengurangkan jumlah minimum kecairan aset kepada RM500,000 berbanding RM1.5 juta;
iii. mengurangkan jumlah minimum deposit tetap untuk pembukaan akaun bank di Malaysia kepada RM300,000 berbanding RM1 juta; dan
iv. mengekalkan tempoh MM2H selama 10 tahun.

LBS optimis bahawa cadangan yang dikemukakan di atas adalah cukup ketat dan mampu menarik warga asing berkemahiran tinggi di samping memacu kejayaan program MM2H.

 

c) Insentif Bagi Penggunaan Sistem Pembangunan Industri (“IBS”)
Menyedari kepentingan untuk melaksanakan proses penyerahan hak milik hartanah berjalan lancar, LBS telah mengadaptasi penggunaan sistem IBS, di mana terbukti berupaya mengurangkan kos dan tempoh pembinaan tanpa kompromi kepada kualiti pembuatan.
LBS mengalu-alukan inisiatif Kerajaan di dalam mendorong penggunaan IBS dengan memberikan peruntukan cukai pelaburan sebanyak 60% ke atas perbelanjaan modal yang memenuhi syarat iaitu perlu dilakukan dalam tempoh lima tahun, di mana ianya berupaya mengimbangi hingga 70% dari pendapatan berkanun syarikat. Walau bagaimanapun, LBS berharap agar Kerajaan mempertimbangkan untuk memperluaskan insentif cukai ini dengan mengambil kira pemaju IBS sedia ada dan pemberian insentif tidak tertumpu kepada pemaju IBS yang baru sahaja. Dengan ini, LBS dapat menyalur kos yang dijimatkan bagi meningkatkan penyelidikan & pembangunan (R&D) ke atas rekaan dan penggunaan teknologi IBS.

 

d) Pengurangan Kos Pematuhan
Kebanyakan pemaju perumahan telah melihat perniagaan mereka terjejas oleh pandemik Covid-19, berikutan kerja-kerja pembinaan terpaksa dihentikan mengikut Prosidur Operasi Standard (SOP) Kerajaan. Oleh itu, Kumpulan berharap agar Kerajaan dapat memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu pemaju. Secara khusus, LBS berharap agar Kerajaan dapat mengurangkan kos pematuhan yang ditanggung oleh pemaju misalnya, mengurangkan caj pembangunan, premium penukaran tanah atau permohonan hak milik strata. Penjimatan dari langkah-langkah ini sangat bermanfaat dan dapat disalurkan semula kepada pembeli rumah melalui penawaran harga yang lebih berpatutan.

 

e) Insentif Bagi Mengatasi Kenaikan Kos Bahan Pembinaan
Harga yang turun naik serta peningkatan kos bahan binaan seperti keluli dan simen kemungkinan akan memberi kesan buruk terhadap kos perumahan. Sebagai contoh, harga keluli meningkat di antara 25 ke 30% dalam tempoh dua bulan dari November 2020 hingga Januari 2021. Turun naik harga meningkatkan tekanan pada kontraktor dan pemaju kerana kos tambahan dari kedua-dua bahan binaan dan kos pematuhan SOP. Bagi mengatasi hal ini, LBS berharap agar Kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan biaya atau memperkenalkan harga kawalan ketat ke atas bahan binaan. LBS percaya langkah ini akan memastikan para pemaju untuk tidak mengenakan kenaikan kos bahan kepada pemilik rumah.

 

f) Pengurangan Ambang Minimum Bagi Pemilikan Hartanah Warga Asing
Keadaan tidak menentu bagi pasaran hartanah semasa mewujudkan kegusaran di kalangan pemaju. Untuk meredakannya, LBS berharap ambang harga semasa bagi warga asing yang ingin membeli hartanah di Malaysia dikurangkan kepada RM500,000 untuk semua negeri. Melangkah ke hadapan, pendapatan dari inventori yang tidak terjual ini membolehkan pemaju hartanah merancang aliran tunai bagi pembangunan hartanah yang lain.

 

g) Pengecualian Cukai Pekerja Asing Di Sektor Pembinaan
Sektor pembinaan amat bergantung kepada buruh asing untuk membina rumah. Walau bagaimanapun, kos berkaitan untuk membawa pekerja asing agak tinggi. Oleh itu, LBS berharap agar Kerajaan mempertimbangkan untuk memberi pengecualian terhadap cukai pekerja asing. Dengan ini, ia akan membantu mengurangkan kos pembinaan yang seterusnya akan mengurangkan kos pembangunan hartanah dan menjadikan ianya sebagai hartanah mampu milik.

Mengulas senarai cadangan-cadangan ini, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, “Kami berharap Belanjawan 2022 akan menyenaraikan polisi rangsangan yang tepat bagi menambahbaik sektor pembangunan hartanah di samping menggalakkan pemilikan hartanah. Kerajaan boleh mempertimbangkan mana-mana saranan kami yang dilihat berupaya merancakkan semula pasaran dan industri hartanah.”

Beliau menambah, “Dengan pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasaran dilihat agak perlahan dan menimbulkan kebimbangan di kalangan para pelabur. Diharap dengan mekanisma bantuan yang tepat dari Kerajaan dapat meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.”

Untuk maklumat lanjut mengenai LBS, layari: https://lbs.com.my/.

 

-Tamat-