20201005 LBS SARAN INISIATIF STRATEGIK BANTU MEMPERKASA PEMBELI RUMAH

Untuk Siaran Segera

LBS SARAN INISIATIF STRATEGIK

BANTU MEMPERKASA PEMBELI RUMAH

Petaling Jaya, 5 Oktober 2020 – LBS Bina Group Berhad berharap pelanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC), skim pembiayaan akhir khas untuk pembeli rumah pertama, insentif kepada pemaju perbandaran dalam membantu keberkesanan rancangan infrastruktur dan juga faedah tambahan untuk menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) secara meluas akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2021.

“Kami berhasrat cadangan ini bagi Belanjawan 2021 kerana kami yakin pelaksanaan ini mampu membantu pemaju memperkasa pembeli rumah di samping membantu negara menambah baik kadar pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia,” kata Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San.

“Sebagai Pemaju Perumahan Rakyat’, LBS kekal komited menyokong agenda perumahan Kerajaan, dan mengesyorkan beberapa cadangan utama untuk menggalakkan pemilikan rumah dan meningkatkan pemasaran hartanah:

(1) Harga rumah yang mampu dimilikikekal menjadi cabaran utama kepada majoriti masyarakat di Malaysia, terutamanya bagi pembeli rumah pertama. LBS menyarankan pihak Kerajaan untuk melanjutkan HOC sebagai insentif bagi membantu untuk mengurangkan bebanan pembeli rumah.

(2) Bagi membolehkan lebih ramai pembeli rumah mendapat pinjaman perumahan, LBS mengusulkan Kerajaan untuk memperkenalkan kadar faedah khas yang rendah khusus bagi pembeli rumah pertama terutamanya kepada golongan generasi muda.

(3) Selain itu, LBS berpendapat bahawa Kerajaan perlu memperluaskan insentif kepada pemaju yang menggunakan teknologi IBS berbanding sistem pembinaan tradisional. Sistem IBS melibatkan teknologi moden yang dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir, mengurangkan kos pembinaan, meningkatkan produktiviti sekaligus menyumbang kepada penurunan harga rumah.

(4) LBS berharap Kerajaan akan memberikan lebih insentif kepada pemaju perbandaran kerana ia akan membantu negara dalam perancangan bandar.

“Dengan strategi yang tepat dan sokongan daripada polisi Kerajaan, keadaan ini pasti akan dapat meningkatkan pasaran hartanah dan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara,” ulas Tan Sri Lim.

-Tamat-