20200827 LBS BERKEYAKINAN MELEPASI SASARAN JUALAN BARU RM 1 BILION

Untuk Siaran Segera

LBS BERKEYAKINAN MELEPASI
SASARAN JUALAN BARU RM 1 BILION

 

Petaling Jaya, 27 Ogos 2020 – Sehingga 26 Ogos, LBS Bina Group Berhad (LBS) telah mencapai jualan sebanyak RM965 juta. Kejayaan ini dikaitkan dengan keberkesanan strategi pemasaran ditambah dengan produk yang memenuhi permintaan pasaran. Oleh yang demikian, LBS yakin dapat mencapai sasaran jualan baru berjumlah RM1 bilion tahun ini.

Pada bulan Januari 2020 yang lepas, LBS telah mengumumkan sasaran jualan berjumlah RM1.6 bilion namun, kesan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi pengaruh yang besar kepada sektor hartanah dan pembinaan di mana tapak pembinaan dan galeri jualan terpaksa ditutup operasi bagi membantu mengekang pandemik COVID-19. Berikutan dari pandemik tersebut, LBS telah mensasarkan semula jualan kepada RM1 bilion.

“Pandemik COVID-19 yang melanda negara secara tidak langsung telah menggugat kestabilan ekonomi dan mengubah landskap perniagaan di seluruh dunia. Meskipun begitu, LBS berada di landasan yang tepat dalam mengharungi tempoh mencabar ini. LBS telah terlebih dahulu mengaplikasikan penggunaan teknologi digital secara menyeluruh dan mengambil langkah lebih awal sebelum pandemik semakin menular. Tambahan pula, sentimen pasaran juga dilihat semakin meningkat dan sekaligus menyumbang kepada jumlah jualan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lim Hock San.

“Melihat kepada sambutan yang menggalakkan terhadap beberapa projek perbandaran serta kempen pemasaran yang efektif seperti #dudukrumah deals yang dilancarkan, kami yakin dapat melepasi sasaran baru jualan tahun 2020 yang berjumlah RM1 bilion dan berharap untuk terus konsisten mencapai sasaran jualan utama berjumlah RM1.6 bilion. Dengan prospek positif yang diterima dalam sektor hartanah, kami akan terus melancarkan lebih banyak projek di masa hadapan bagi menambah jualan,” ulas Tan Sri Lim Hock San.

Tan Sri Lim Hock San turut berkata, sebagai “Pemaju Perumahan Rakyat”, LBS sentiasa mengambil pendekatan dengan memahami keperluan pembeli rumah dan akan terus berusaha untuk memberi yang terbaik buat pelanggan LBS. Di samping menyokong agenda perumahan Kerajaan, LBS akan terus membina produk berdasarkan tiga teras utama iaitu mampu dimiliki, komuniti dan perhubungan.

“Dengan strategi yang tepat dan sokongan daripada inisiatif Kerajaan, pasaran hartanah akan terus meningkat. Pengenalan semula Kempen Pemilikan Hartanah (HOC) telah banyak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki kediaman sendiri. Sepanjang tempoh HOC tahun 2020, duti setem telah dikecualikan dan had pembiayaan sebanyak 70% bagi pinjaman perumahan ketiga dan seterusnya bernilai lebih dari RM600,000 telah dinaikkan. Pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga akan meringankan beban pembeli rumah.” jelas Tan Sri Lim.

Pada 31 Julai 2020, LBS mempunyai jualan tanpa bil sebanyak RM2.176 bilion, yang merupakan jumlah besar bagi keuntungan syarikat untuk dua ke tiga tahun yang akan datang. LBS memiliki bank tanah seluas 3,587 ekar dengan jangkaan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM31 bilion yang terletak di kawasan strategik Lembah Klang, Pahang, Perak, Johor dan Sabah.
Sementara itu, LBS telah merekodkan pendapatan berjumlah RM167 juta dan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM12 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020. Sepanjang tempoh tersebut, LBS telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM466 juta dan RM36 juta. Pendapatan rendah ini adalah berikutan dari penutupan tapak pembinaan dan pejabat jualan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sumbangan pendapatan dan PBT adalah dari dua projek perbandaran utama LBS iaitu LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Residensi Bintang Bukit Jalil, Zenopy Residence dan LBS Skylake Residence.

Sehingga kini, LBS mempunyai 17 projek yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM4.4 bilion.

~Tamat~