20200610 LBS SAMBUT BAIK INISIATIF KERAJAAN CADANG LANGKAH TAMBAHAN MANFAAT PEMBELI RUMAH PERTAMA

Untuk Siaran Segera

LBS SAMBUT BAIK INISIATIF KERAJAAN

CADANG LANGKAH TAMBAHAN MANFAAT PEMBELI RUMAH PERTAMA

(Petaling Jaya, 10 Jun 2020) – Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) menyambut baik inisiatif kerajaan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 5 Jun 2020 untuk menjana semula sektor hartanah menerusi pemulihan ekonomi jangka pendek yang dikenali sebagai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Kami gembira dengan pengumuman insentif Sektor Hartanah kerana insentif ini dapat merangsang semula pasaran hartanah yang terjejas sepanjang pandemik ini. Kami percaya pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) adalah tepat pada masanya dan seiring dengan tawaran kempen LBS #DudukRumah Deals. LBS akan melancarkan beberapa pakej insentif tambahan melalui kempen ini untuk membantu rakyat Malaysia yang ingin memiliki rumah idaman,” kata Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San.

Bagi memacu pasaran hartanah, LBS ingin mencadangkan beberapa langkah untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan:-

(1) Memperkenalkan semula Skim Pemaju Tanggung Faedah (DIBS) untuk pembeli rumah pertama. Skim DIBS ini adalah skim di mana pemaju akan membantu pembeli rumah dengan membayar kos faedah pinjaman sepanjang tempoh pembinaan sehingga siap.

(2) LBS turut mencadangkan penurunan harga minimum bagi warga asing yang ingin membeli rumah di Malaysia dari RM1,000,000 kepada RM500,000 hingga hujung Disember 2021. Cadangan ini akan dapat membantu negara meyakinkan pelabur luar sekaligus merangsang pasaran negara.

(3) Lanjutan tempoh waktu pinjaman maksimum hingga 40 tahun, atau sehingga peminjam berumur 75 tahun, bagi kesemua segmen hartanah.

(4) Pengenalan Skim Pinjaman Akhir bagi membantu mengurangkan kadar penolakan pinjaman yang tinggi berikutan peraturan pembiayaan pinjaman yang ketat.

“Sebagai “Pemaju Pilihan”, LBS kekal komited dalam menyokong agenda perumahan kerajaan. Kediaman mampu milik kekal sebagai aspek utama yang dititikberatkan oleh pembeli rumah. Justeru, kami ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan kembali skim DIBS dan syarat-syarat pinjaman perumahan. Kewujudan skim ini sekaligus akan membantu untuk meringankan beban pembeli rumah pertama, terutamanya generasi muda, jelas Tan Sri Lim.”

“Hingga kini, LBS telah berjaya meraih jualan sebanyak RM314 juta, dan terus mendapat sambutan yang menggalakan menerusi kempen #DudukRumah Deals. Kami akan melancarkan beberapa lagi projek baharu pada suku ketiga dan keempat tahun 2020, tertumpu di dua perbandaran utama Kita @ Cybersouth di Dengkil, dan LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam. Manakala di Johor terdapat projek yang sedang berjalan di sekitar Bandar Putera Indah dan akan dilancarkan menjelang akhir tahun 2020,” kata Tan Sri Lim.

LBS akan terus konsisten membina kediaman berdasarkan tiga teras utama iaitu mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti. “Harapan kami untuk membina perumahan negara dan kami akan terus mengekalkan strategi pembinaan unit mampu milik yang sememangnya diterima baik dan memenuhi keperluan pasaran,” tambah Tan Sri Lim.

~Tamat~