LBS Press Release
LBS METERAI PERJANJIAN PENAMBAKAN DAN PEMBANGUNAN Projek Penambakan di Kawasan Seluas 1,200 Ekar





Download PDF here


Untuk Siaran Segera

LBS METERAI PERJANJIAN PENAMBAKAN DAN PEMBANGUNAN
Projek Penambakan di Kawasan Seluas 1,200 Ekar

Petaling Jaya, 8 April 2021 – Kumpulan LBS Bina Berhad, (“LBS” atau “Kumpulan”) melalui anak syarikat dengan berkepentingan sebanyak 70%, Leaptec Engineering Sdn. Bhd. (“LESB”) hari ini menandatangani perjanjian penambakan dan hak pembangunan (“RDA”) dengan Kerajaan Negeri Melaka (“Kerajaan Negeri”) di kawasan berkeluasan kira-kira 1,200 ekar. Kawasan penambakan ini merupakan sebahagian daripada rangka tindakan koridor ekonomi baru “Melaka Waterfront Economic Zone” (MWEZ) yang meliputi kawasan seluas 25,000 ekar di bahagian barat Negeri Melaka.

Usai kerja-kerja penambakan, LBS berhasrat untuk mengembangkan pusat industri dengan kemudahan pelabuhan yang merangkumi logistik dan gudang, pembuatan, gas asli cecair (LNG), perniagaan yang berkaitan dengan pelabuhan dan pembangunan atau aktiviti ekonomi di kawasan strategik Tanjung Bruas, Bandar XLV, Daerah Melaka Tengah, Melaka. LBS juga merancang untuk mencari perkongsian pintar atau kolaborasi yang menguntungkan pihak-pihak berkaitan dengan projek penambakan dan pembangunan ini (“Projek”). Projek ini selaras dengan rancangan LBS untuk meningkatkan bank tanahnya di negeri lain terutama di negeri-negeri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang pesat seperti Melaka.

Menerusi hak penambakan dan pembangunan yang diberikan, Kerajaan Negeri berhak mendapat pulangan tunai sebanyak RM94.86 juta. Projek ini akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman daripada / atau pinjaman bank. LBS berhak mendapat empat per lima (4/5) tanah yang ditambak manakala Kerajaan Negeri memperolehi hak ke atas baki satu perlima (1/5) ke atas kawasan tersebut.

Bertempat di Royale Chulan Kuala Lumpur, RDA telah ditandatangani oleh Datuk Mohd Anis Hisham Abdul Aziz, Pengarah Urusan LESB sementara Datuk Seri Utama (Dr.) Haji Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri Melaka, mewakili Kerajaan Negeri. Majlis menandatangani RDA turut disaksikan oleh Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Melaka, Tuan Mohd Yusof Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif M-WEZ, Cik Nor Fadhilah Mohd Ali, CFO Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tuan Imri Mokhtar, Ketua Pegawai Eksekutif Telekom Malaysia Berhad, bersama-sama dengan dif-dif kehormat Kerajaan Negeri dan pihak pengurusan kanan LBS yang lain.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San mengulas, “RDA ini menyediakan peluang kepada Kumpulan untuk mendapatkan sebidang tanah yang cukup luas di kawasan pesisir Selat Melaka, salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia. Ini akan membolehkan Kumpulan mewujudkan kehadiran yang dominan di kawasan ini dengan akses ke pasaran baru terutama di segmen industri dan komersial. Dengan kemasukan LBS ke Melaka, kami juga dapat memanfaatkan status “negeri dan wilayah yang mesra” antara wilayah Guangdong, China dan Melaka bagi meneroka perkongsian pintar antarabangsa dengan syarikat yang terletak di wilayah Guangdong. RDA juga memberi manfaat kepada anak syarikat kami , MGB Berhad yang bakal mendapat manfaat daripada kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan untuk Projek ini. Kami yakin bahawa pembangunan industri dan komersial ini akan diterima baik memandangkan lokasinya yang strategik, kegiatan ekonomi yang semakin meningkat di sekitarnya serta sokongan dari Kerajaan Negeri. Projek ini diharapkan dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan Kumpulan pada masa akan datang.”

-Tamat-

⬅ View all press releases