20200227 PERMINTAAN TINGGI TERHADAP HARTANAH LBS PADA 2019 LONJAK KEUNTUNGAN SEBELUM CUKAI KE RM 158 JUTA

Untuk Siaran Segera

PERMINTAAN TINGGI TERHADAP HARTANAH LBS PADA 2019

LONJAK KEUNTUNGAN SEBELUM CUKAI KE RM 158 JUTA

Selangor, 27 Februari 2020 – Pemaju hartanah dan perbandaran terkemuka LBS Bina Group Berhad (LBS) kekal dengan prestasi luar jangkaan hasil daripada sokongan pembeli rumah LBS. LBS mengumumkan jumlah pendapatan kewangan yang berakhir tahun 2019 memperoleh sebanyak RM 1.33 bilion dan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM 158 juta.

‘’Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kepercayaan pembeli rumah terhadap LBS adalah motivasi kami untuk terus berusaha dengan pelbagai strategi pembangunan di samping mengekalkan harga yang berpatutan untuk keperluan mereka,” ujar Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San di Mesyuarat Ahli Lembaga Pengurusan.

Tambahnya lagi pencapaian tersebut didorong oleh kadar pengambilan hartanah yang baik dan perkembangan stabil pembinaan projek di Lembah Klang, Pahang dan Johor. Pembangunan dan perbandaran LBS yang dibina berdasarkan tiga tunggak utama iaitu mampu dimiliki, kesaling hubungan dan komuniti, menyumbang kepada pencapaian pendapatan LBS.

Perbandaran dan projek dengan jualan tertinggi pada tahun 2019 adalah LBS Alam Perdana yang terletak di Bandar Puncak Alam, Kita @ Cybersouth di Dengkil, dan Residensi Bintang Bukit Jalil, kawasan yang berkembang pesat di selatan Kuala Lumpur.

Sehingga kini, LBS mempunyai sejumlah 18 projek yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar sebanyak RM 3.8 bilion, jualan belum dibilkan sebanyak RM 2.24 bilion dan 3,620 hektar bank tanah setakat 31 Disember 2019.

LBS capai RM 1.63 bilion jualan pada tahun 2019, sekaligus melepasi sasaran jualan RM 1.5 bilion dengan peningkatan 8.6 peratus.

~Tamat~