20200630 BANK TANAH LBS MENCECAH RM33 BILION GDV RUMAH MAMPU DIMILIKI BAKAL DILANCARKAN PADA SEPARUH KEDUA 2020

BANK TANAH LBS MENCECAH RM33 BILION GDV

Rumah Mampu Dimiliki Bakal Dilancarkan Pada Separuh Kedua 2020

Petaling Jaya, 30 Jun 2020 – LBS Bina Group Berhad (LBS) memiliki bank tanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM33 bilion setakat 31 Mei 2020. Bank tanah ini dijangka akan menyumbang kepada pendapatan syarikat dalam tempoh masa 10 hingga 15 tahun akan datang. Tambahan lagi, LBS menunjukkan jualan pendapatan yang kukuh dengan catatan jualan belum dibilkan sebanyak RM1.805 bilion setakat 29 Mei 2020.

“LBS mempunyai 3,610 ekar bank tanah yang masih belum dibangunkan di kawasan Lembah Klang, Pahang, Perak, Johor dan Sabah dengan anggaran GDV RM33 bilion. Kami akan terus mencari dan menambah bank tanah dengan lokasi tanah yang sesuai bagi pembangunan di masa hadapan,” kata Pengarah Urusan LBS Group, Tan Sri Lim Hock San.

Setakat 29 Jun 2020, LBS telah mencapai jualan RM317 juta dan tempahan sebanyak RM305 juta.

Tan Sri Lim menjelaskan, LBS baru melancarkan pangsapuri perkhidmatan KITA Ria di perbandaran KITA @ Cybersouth, Dengkil dan menerima hasil kadar ambilan yang tinggi dengan tempahan penuh pada blok pertama. Bagi memenuhi permintaan orang ramai, LBS merancang untuk melancarkan beberapa projek dengan anggaran GDV RM1 bilion dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pelancaran terbaru ini termasuk rumah satu tingkat, dua tingkat dan rumah bandar di KITA Mekar, KITA @ Cybersouth. Sementara itu, LBS juga akan melancarkan Ritma Perdana, pembangunan rumah bandar dan rumah teres di perbandaran LBS Alam Perdana serta blok kedua Pangsapuri Melodi Perdana. Pelancaran ini terdiri daripada segmen rumah mampu dimiliki dengan nilai di bawah RM500,000.

“Mampu dimiliki kekal menjadi kebimbangan utama kepada pembeli rumah, maka kami akan terus mengekalkan strategi untuk membina rumah bagi memenuhi keperluan pasaran.
Pembangunan dan perbandaran LBS di reka khas berdasarkan 3 teras utama; mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti,” ulas Tan Sri Lim Hock San.

Sebagai pemaju perumahan rakyat, LBS kekal komited dengan agenda perumahan negara. Baru-baru ini, Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menggesa pemaju hartanah untuk menumpukan pembangunan projek perumahan mampu milik dengan harga RM500,000 seunit dan ke bawah.
“Pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) baru-baru ini dapat mengurangkan beban pembeli rumah dan kempen LBS #DudukRumah Deals Plus akan menambah insentif bagi pemilikkan rumah,” kata Tan Sri Lim Hock San.
Melihat kepada inisiatif kerajaan yang sentiasa mempromosi dan menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), LBS akan terus membangunkan perbandaran dan projek menggunakan teknologi tersebut. IBS semakin diiktiraf sebagai kaedah yang dapat mengurangkan masa pembinaan, kos buruh di tapak dan kebergantungan pada buruh asing.
Sementara itu, LBS berjaya merekod jualan RM299 juta dan keuntungan sebelum cukai (PBT) pada suku pertama berakhir 31 Mac 2020. Hasil ini disumbangkan daripada kadar ambilan yang tinggi bagi perbandaran dan pembangunan rumah yang mampu dimiliki kumpulan LBS.

Pendapatan utama dan sumbangan PBT datang daripada beberapa projek utama seperti LBS Alam Perdana di Bandar Puncak Alam, KITA @ Cybersouth di Dengkil, Bandar Saujana Putra, Cameron Golden Hills dan LBS SkyLake Residence.

LBS mempunyai 16 projek yang masih dijalankan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion.

-Tamat-