20200106 LBS UNJUR RM1.6 BILION JUALAN SELEPAS LANGKAUI SASARAN 2019

Untuk Siaran Segera

 

LBS UNJUR RM1.6 BILION JUALAN SELEPAS LANGKAUI    SASARAN 2019

Sebelas Projek Bakal Dilancarkan Bagi Memacu Perkembangan 2020

 

Petaling Jaya, 6 Januari 2020 – Pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS), melangkaui sasaran jualan tahun 2019 dengan mencapai RM1.65 bilion berbanding RM1.526 bilion pada tahun 2018 walaupun berhadapan dengan sentimen pengguna dan pasaran global yang mencabar.

Meninjau prestasi keseluruhan syarikat pada 2019, Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata, “kami amat gembira dengan pencapaian ini kerana ia mengesahkan pendekatan kami di dalam menitipkan tiga asas utama iaitu mampu milik, hubungan rangkaian dan komuniti di dalam setiap projek pembangunan. Dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan perbandaran yang berkualiti dan mampu milik di lokasi strategik, pendekatan ini terbukti berkesan dan kekal sebagai satu segmen yang kukuh di dalam sentimen pasaran yang kurang memberangsangkan. Ini selaras dengan prestasi kewangan LBS yang ditunjukkan.

“Di sebalik persekitaran pasaran ekonomi dan hartanah yang mencabar, LBS kekal bertahan dan kami berjaya mendapatkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 20.67% dalam tempoh lima tahun daripada pendekatan ‘people-focused’ (mesra rakyat) dan penggunaan meluas Sistem Bangunan Berindustri (IBS) di samping pengoptimuman reka bentuk.” tambah Tan Sri Lim.

Pada tahun 2019, LBS telah melancarkan 11 projek baru dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.82 bilion di lima buah lokasi dengan jualan kebanyakannya tertumpu di kawasan tengah. Perbandaran KITA @ Cybersouth yang baru dilancarkan pada April 2019 serta perbandaran LBS Alam Perdana muncul sebagai penyumbang  utama jualan. Selain daripada itu, projek seperti Emerald Garden 3, Laman Bayu di Bandar Putera Indah, Johor dan Taman Kinding Flora di Chemor, Ipoh turut menyumbang kepada prestasi mantap kumpulan LBS.

Dengan 18 projek yang sedang berjalan dan bank tanah berkeluasan 3,630 ekar pada 31 Disember 2019, Tan Sri Lim menjangkakan prospek jualan kumpulan akan kekal berdaya tahan pada 2020 dengan sasaran RM1.6 bilion.

Berdasarkan sokongan positif dan permintaan bagi projek-projek baru, LBS merancang untuk melancarkan hartanah bernilai RM2.321 bilion pada tahun 2020. Projek-projek ini akan tertumpu di kawasan tengah di mana ianya merupakan penambahan fasa baru bagi projek yang sedang berjalan di perbandaran KITA @ Cybersouth, perbandaran Alam Perdana dan Residensi Bintang Bukit Jalil.

Projek-projek lain yang akan diumumkan pada tahun 2020 termasuk projek rumah satu tingkat di Bandar Putera Indah, Batu Pahat; unit  berkembar dan rumah teres dua tingkat di Cameron Golden Hills, Cameron Highlands; pangsapuri di Midhills, Genting Highlands dan rumah mampu milik satu tingkat  di Chemor, Perak.

Salah satu inisiatif LBS pada tahun 2020 adalah ‘LBS Fabulous 2020’. Kempen ini bertujuan untuk memberi ganjaran lebih kepada pembeli hartanah terpilih dengan hadiah-hadiah yang menarik bernilai sehingga Rm1 Juta, termasuk sebuah Proton X70.

Tan Sri Lim merangkumkan bahawa, “Sentimen terhadap sektor perumahan yang tinggi serta kriteria pinjaman perumahan  lebih ketat akan dilaksanakan tahun ini, namun sebagai “Pemaju Perumahan Rakyat”, LBS akan tetap meneruskan usaha di dalam mempertingkatkan kemudahan dan memenuhi keperluan bakal pembeli rumah moden dengan memaparkan kelainan dari segi ruang dan reka bentuk yang inklusif untuk pengalaman gaya hidup yang bermakna.